Angkara Lidah Anak Menantu, Ibu Bawa Diri Tinggal Dalam Kereta Sebulan Lebih

Dahulunya dialah ibu dialah ayah dengan bekerja di kilang dan kedai makan untuk membesarkan anak-anak, namun, kini, sudah sebulan lebih dia tinggal di dalam kereta. Itu yang terjadi kepada seorang ibu berusia 51 tahun di Taman Suria, Pendamar, Pelabuhan Klang.

Wanita yang tidak mahu namanya disiarkan itu berkata, “Ada perkara yang mereka  (anak dan menantu) kata sehingga membuatkan saya kecil hati. Jadi lebih baik saya keluar daripada rumah kerana tidak mahu susahkan mereka.”

Akhirnya, beliau mengambil keputusan membawa diri tinggal di dalam Perodua Kancil yang tidak boleh bergerak di Taman Suria.

Niatnya hendak keluar dari kawasan itu terbantut. “Saya nak keluar dari kawasan itu, namun kereta saya tidak boleh bergerak membuatkan saya terpaksa tinggal di dalam kereta selama 40 hari sebelum dibantu oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Dalam pada itu, ibu ini turut berhasrat untuk ke rumah anaknya yang lain namun risau jika mereka tidak menerimanya.

“Memang saya ada niat nak pergi rumah anak yang lain, namun belum tentu mereka terima saya. Mesej ucapan Aidilfitri saya pun tidak dibalas,” katanya.

Sepanjang tinggal di dalam Perodua Kancil, beliau berterima kasih kerana ada penduduk yang datang menghantar makanan kepadanya.

Penduduk di situ turut menawarkan untuk tinggal bersama mereka namun dia enggan kerana tidak mahu menyusahkan mereka. Susulan itu, penduduk kampung tersebut mengambil inisiatif menghubungi LZS untuk membantunya.

“Saya juga berterima kasih kepada LZS yang sewakan rumah untuk saya. InsyaAllah, ketika ini saya sedang mencari kerja dan mahu membuka gerai masakan jika diberi peluang,” ujarnya.

Ketua  Operasi Agihan LZS Daerah Klang, Mohd Shahril Ritin berkata, pihaknya bergegas ke lokasi parkir di pangsapuri itu selepas mendapat maklumat tersebut.

Sungguh memilukan nasib seorang ibu diperlakukan sedemikian rupa oleh zuriat sendiri. Janganlah sehingga tindakan mereka ini menjadi penyesalan terbesar dalam hidup si anak apabila si ibu sudah pergi meninggalkan dunia ini.

Biarlah apa pun, atau sebesar mana pun jika ada salah atau silap yang dilakukan oleh ibu kita, janganlah hingga membuang mereka dari hidup kita.

Walaupun kisah ini berlaku pada 2019, namun pengajarannya masih segar untuk renungan kita menjaga ibu kita dengan sebaik-baiknya apatah lagi ketika usia mereka sudah lanjut.

Diharapkan anak-anak kepada wanita ini kini sudah bertaubat, menyesal dengan perbuatan mereka dan sempat memohon kemaafan dari sang ibunda.

Sumber : Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published.