“Yang hadir di padang kawad pagi tadi menjadi saksi, betapa kasih agung seorang ayah kepada anaknya..”-Bapa Jadi Benteng Anak Rebah Ketika Berkawad Undang Sebak

Bapa jadi benteng anak rebah ketika berkawad

PETALING JAYA – Tindakan seorang bapa berlari ke arah anaknya yang rebah sewaktu berkawad serta membantunya supaya kekal berdiri meruntun hati pengguna laman sosial yang terharu melihat situasi tersebut.

Kejadian itu berlaku pagi tadi di Maktab Penjara Kajang sempena Hari Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan beberapa gambar tular di media sosial dikongsikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Menerusi hantaran beliau, Alexander berkata, bapa tersebut berlari dari khemah tetamu ke arah anaknya yang rebah menahan terik matahari, malah terlucut selipar dipakai warga emas tersebut.

Demikian perkongsian yang tular :

 “Kasihnya ayah,

Berkorban nyawa,

Biarlah jiwa,

Akan tersiksa,

Ikhlas dan rela,

Asalkan bahagia…”

“Banyak yang tersirat di sebalik turutan gambar ini. Ketika terkujurnya anak tatkala berkawad, kerana menahan terik mentari, berlari si ayah menerpa dari arah khemah tetamu. Sehingga terlucut selipar yang disarung, namun tidak diendahkan, asalkan beliau berada di sisi anak dalam sekelip mata.”

“Yang hadir di padang kawad pagi tadi menjadi saksi, betapa kasih agung seorang ayah kepada anaknya. Yang bermain di fikiran ketika terlihat perkara itu, sama ada ayah ingin mengusung anaknya keluar barisan. Ternyata sangkaan demikian meleset.”

“Meskipun badan ayahnya dimamah usia, anaknya dipapah, bingkas dibantu berdiri sambil badan menjengah lebih separuh abad itu menjadi benteng daripada anaknya kembali rebah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kesungguhan bapa tersebut menyebabkan beliau dan tetamu pada majlis itu turut berasa sebak.

“Melihatkan pengorbanan tidak terperi seorang ayah, berjurai air mata hadirin membasahi pipi masing-masing. Saya tidak terkecuali.

“Kepada mereka yang masih mempunyai insan bergelar ayah, hargai, sayangi dan santunilah selagi hayatnya dikandung badan.

“Kasihnya ayah, berkorban nyawa, biarlah jiwa akan tersiksa, ikhlas dan rela asalkan bahagia,” ujarnya.

Gambar :

Sumber : Alexander Nanta Linggi via KOSMO! ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *