Hasrat Bakal Jadi Kenyataan, Rohana Dan Laoshi Terima Khabar Gembira

Rohana Abdullah dan Chee Hoi Lan. Nama 2 individu ini pernah menjadi tular sebelum ini kerana kisah kasih sayang tanpa syarat antara dua insan bukan da,rah daging, berlainan bangsa, berlainan agama.

Rohana dijaga dengan penuh kasih sayang ibu angkatnya, Chee Hoi Lan, 83, sejak berusia 2 bulan hingga kini. Apa yang menarik dan mengagumkan, gadis ini dibesarkan dengan agama asal Rohana. Usaha dan sikap murni Hoi Lan dalam mengekalkan identiti Rohana dipuji ramai pihak.

Kisah Rohana yang bekerja sebagai pengajar di pusat tuisyen pernah menarik perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang telah menghubunginya untuk membantu urusan taraf kerakyatannya.

Terdahulu, Hoi Lan telah berusaha meminta bantuan  Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Zon Batu Gulam Muszaffar Ghulam Mustakim untuk mendapatkan taraf kerakyatan Rohana selepas ditinggalkan sejak kecil.

Akhirnya, pada 29 April penantian dan kerisauan mereka berakhir. Rohana mendapat taraf kewarganegaraan menerusi Surat Keputusan Kewarganegaraan daripada Menteri Dalan Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin di Putrajaya.

Dengan taraf kerakyatan yang ada, dan selepas sekian lama menanti peluang menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, akhirnya hasratnya menjadi kenyataan.

Rohana ditawarkan tempat di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bermula Isnin ini. Tawaran rasmi untuk mengikuti pengajian dalam jurusan Diploma Sains Komputer telah diterima pada Isnin lalu.

“Alhamdulillah, saya sangat gembira dengan tawaran ini. Terima kasih kepada UTeM yang menawarkan tempat kepada saya.

“Sudah pasti saya akan gunakan peluang ini untuk mencapai cita-cita saya dalam bidang itu selepas sekian lama menunggu,” ujarnya.

Difahamkan, tawaran tersebut akan diserahkan sendiri oleh Naib Canselor UTeM, Prof Ts Dr Massila Kamalrudin dalam satu majlis pada Sabtu ini.

Meski meminati bidang perubatan, namun beliau tetap gembira dapat belajar dalam bidang komputer.

Rohana sebelum ini pernah ditawarkan untuk ke Universiti Putra Malaysia (UPM) namun di cawangan Bintulu, Sarawak. Bagaimanapun, terpaksa menolak kerana akan berjauhan dengan Laoshi nya (Hoi Lan) dan dia tidak bersedia untuk itu.

Kampus UTeM yang lebih dekat membolehkan Rohana dan ibu angkatnya berjumpa seminggu sekali.

Sementara itu, tawaran itu juga memberi berita gembira kepada Hoi Lan. Beliau akan menghantarnya ke kampus tersebut pada hujung minggu ini.

Segala persiapan telah pun diuruskan dan hanya urusan dokumentasi sahaja lagi untuk kemasukan pengajian.

Syukur. Semoga Rohana menjadi insan berjaya yang bakal berkhidmat kepada negara ini semula dan berbakti kepada ibu angkatnya yang tersayang.

Sumber : Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *