Tak Cukup Bajet Upah Tukang, Ustazah Nekad Buat Rumah Sendiri, Hasilnya Mengagumkan!

Menginspirasi dan mengagumkan. Walau berkerjaya sebagai seorang guru agama, tiada kelulusan akademik dalam bidang kejuruteraan mahupun pendidikan formal dalam bidang pertukangan, wanita ini meraih pujian ramai apabila menjadi tukang bagi membuat rumah impiannya sendiri.

Tiada pengalaman bukanlah alasan bagi seorang ibu tunggal anak satu yang juga graduan Diploma Dakwah dan Pengurusan untuk membina sendiri sebuah rumah berkeluasan 1,200 kaki persegi.

Lebih-lebih lagi apabila mengambil kira harga barang binaan yang semakin meningkat di samping kos pertukangan jika dia mendapatkan khidmat tukang rumah.

Nekad Bina Sendiri, Kos Khidmat Tukang Mahal

Auni Hazwani Faizun, 30, yang berasal dari Kuantan, Pahang ini berkata, keputusan tersebut dibuat selepas dia dimaklumkan kos untuk membuat kandang kambing sahaja sudah hampir mencecah RM10,000.

“Saya tak pernah tanya tukang rumah berapa jumlah keseluruhan kalau nak buat rumah, tapi yang pasti kos bahan mentah semua mahal kerana harga barang naik… kalau upah lagi la (mahal).

“Sebab sebelum ni ada juga tanya kawan berapa upah kalau nak buat kandang kambing dan dia cakap hampir RM10,000.

“Disebabkan itu saya ambil keputusan untuk buat sendiri rumah ini,” luahnya.

Menurut ibu kepada seorang cahaya mata perempuan itu lagi, rumah yang sedang dibinanya itu mempunyai 2 bilik tidur.

Sukar Buat Pinjaman Bank, Nekad Bina Sendiri

Katanya, kesu.karan membuat pinjaman bank menyebabkan pembinaan rumah tidak dapat disiapkan dalam tempoh masa singkat.

“Dah lama saya rancang nak buat rumah ni iaitu selepas mak bahagikan tanah kepada anak-anaknya.

“Saya ada 6 adik-beradik yang mana 4 orang menerima tanah di tempat lain manakala tanah rumah mak dibahagikan kepada saya dan adik. Jadi saya ambil tapak yang ada garaj.

 

 

Pagi Bekerja Sebagai Tukang Kayu, Petang Mengajar Al-Quran Dan Fardu Ain

“Disebabkan tak dapat buat pinjaman bank, saya guna sepenuhnya duit gaji yang diperolehi daripada mengajar al-Quran dan fardu ain di asrama.

“Waktu pagi saya bekerja sebagai tukang kayu,” ujarnya sambil menambah kedua-dua pendapatan yang diper0leh tidak dapat membantunya membuat pinjaman perbankan.

Bercerita lanjut, Auni memberitahu, pada masa ini dia sudah menyiapkan bahagian dapur rumah.

“Saya mula sejak September tahun lepas dengan menaikkan tiang rumah… bahagian ini saya dapatkan pertolongan daripada ayah dan adik kerana tiang berat.

“Pada masa tu dah ada ikat bata tapi terhenti sekejap sebab saya di masukkan ke h0spital.

“Jadi, 27 Ogos lalu baru saya mula balik buat dinding dapur yang tergendala sebelum ini,” luahnya lagi.

Jadikan Youtube Sebagai Rujukan

Disebabkan tidak mempunyai pengalaman membina rumah, Auni menjadikan YouTube sebagai tempat rujukan.

Selain itu, dia mengutip pengalaman daripada bapanya yang pernah melakukan kerja ubah suai dapur rumah.

“Pengalaman tak ada, tapi sebelum ini pernah ubah suai dapur rumah mak dan abah ikat bata sendiri. Jadi daripada situ saya belajar kerana saya hanya kerja buat kabinet sahaja.

“Pada masa sama, saya selalu tengok tukang rumah membancuh simen sehingga menaikkan dinding,” jelasnya yang menjangkakan rumahnya siap pada tahun hadapan.

Tambah Auni dia yakin mampu membina rumah impiannya sendiri meskipun mengambil masa yang lama disebabkan faktor kewangan.

Suka Aktiviti Lasak

Menurutnya lagi, sejak memulakan pembinaan rumah, dia merasakan tugasan tersebut tidaklah sukar.

Tambahan pula dia sememangnya gemar dengan aktiviti lasak.

“Nak kata susah buat tu, tak sangat sebab saya dah biasa dengan benda lasak… yang berat cuma bancuh simen, tapi saya buat dalam kuantiti yang sedikit sahaja.

“Alhamdulillah, dinding dapur berjaya disiapkan dalam tempoh 3 hari. Bahagian lain akan saya siapkan mengikut kewangan semasa,” tambahnya.

Reaksi Warganet

Sehingga artikel ini ditulis, video tular yang dimuatnaik di laman TikToknya telah meraih 2.2 juta tontonan dan hampir 171,000 tanda suka.

Rata-rata warganet memuji usaha Auni selain turut menyatakan apa yang dilakukan itu bertepatan jika diberikan hantaran yang tinggi.

“Ni baru betul hantaran RM20,000. Mak saya pesan… nanti cari yang macam ni.

Selain TikTok, Auni juga mempunyai saluran Youtube (Wani Faizun) untuk berkongsi ilmu dan pengalamannya dalam pertukangan.

Semoga menjadi inspirasi buat para wanita lain. Kuncinya adalah ilmu, nekad dan keberanian!

Sumber : mstar / TikTok Wanifaizun

Leave a Reply

Your email address will not be published.