Bermula Hanya Hobi, Kini 3 Beradik Raih RM10,000 Sebulan Jual Cendawan Tiram!

Tak sangka hobi menjadi sumber pendapatan, tiga adik beradik yang masih berusia awal 20 an kini mampu meraih pendapatan hampir RM10,000 hasil jualan cendawan tiram.

3 beradik dari Kampung Desa Kasih, Kuala Krai, Kelantan mampu meraih keuntungan mencecah hampir RM10,000 sebulan hasil jualan cendawan tiram yang diusahakan mereka sejak setahun lepas.

Pada Mulanya Sekadar Isi Masa Lapang

Muhamad Lokman Hakim Md Sabri, 25, berkata pada peringkat permulaan, tanaman yang diusahakan itu adalah sekadar untuk mengisi masa lapang sahaja memandangkan beliau mempunyai banyak waktu terluang kerana bekerja sebagai juruteknik.

“Melihat potensi cendawan tiram ini, 2 lagi adik saya iaitu Puteri Nurin Darwisyah, 23, dan Puteri Nurin Sabirah, 20, telah membantu saya untuk bersama-sama mengusahakan tanaman ini sebagai pendapatan sampingan.

“Kami mula membeli bongkah cendawan tiram dengan harga RM1.60 seunit sedikit demi sedikit untuk diletakkan di tepi rumah dan sehingga kini kami memiliki 3,000 bongkah,” katanya baru-baru ini.

Tak Menang Tangan

Muhamad Lokman Hakim berkata mereka tidak menang tangan kerana cendawan tiram mendapat permintaan tinggi daripada penduduk setempat dan peniaga di sekitar Kuala Krai dengan hampir 30 kilogram sehari.

“Kami tidak sangka sambutan jualan cendawan tiram ini sangat menggalakkan kerana selain mempunyai pelanggan tetap, kami turut menjualnya secara dalam talian dengan menggunakan platform media sosial untuk menambah pendapatan.

Kutip Hasil 2 Kali Sehari

“Bagi mendapat hasil maksimum dan berkualiti, tanaman itu perlu berada dalam keadaan yang lembap selain persekitarannya juga perlu sentiasa bersih,” katanya yang akan mengutip hasil cendawan tiram 2 kali sehari iaitu pada pagi dan malam.

Muhamad Lokman Hakim berharap usahanya akan dibantu oleh agensi berkaitan kerana beliau berhasrat untuk menjual bongkah cendawan tiram bagi membantu mana-mana individu yang berminat untuk mengusahakan tanaman berkenaan.

Cara Buat Bongkah

“Bagi menghasilkan bongkah cendawan tiram, kami perlu 3 bahan iaitu habuk kayu getah, dedak padi dan kapur pertanian yang semuanya digaul dan disebatikan dengan menggunakan mesin.

“Bahan tersebut dikukus selama 6 jam di dalam tong dan akan disejukkan selama 24 jam sebelum disimpan pada suhu yang lembap,” katanya.

Reaksi Warganet

Rata-rata netizen mengucapkan tahniah kepada anak-anak muda tersebut, memberi semangat serta terus menyokong.

Selain itu, ada juga yang berkongsi pengalaman berkaitan bidang berkenaan.

Semoga menjadi inspirasi anak-anak muda lain agar terus berusaha membangkitkan ekonomi diri dan keluarga, cuba menceburi bidang baru serta fokus dalam menambah ilmu dalam bidang yang diminati.

Sumber : Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published.