“Biarlah Jadi Pemungut Sampah, Asal Dapat Bantu Keluarga”-Terpaksa Berhenti Sejak Ting.2

Baru-baru ini tular video seorang pekerja pembersihan kelihatan seronok ketika melakukan tugasnya. Siapa tahu rupanya di sebalik itu ada cerita yang telah menyentuh hati ramai.

Bukan mudah untuk memutuskan hendak berhenti sekolah, namun pilihan yang terhidang terhad.

Seperti rakan sebaya lain, Wan Othman Wan Mohd Nor Hassyim, 19, juga ada keinginan untuk menamatkan persekolahan hingga memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan seterusnya menyambung pengajian ke menara gading.

Berhenti Sekolah Sejak Tingkatan 2

Bagaimanapun, kesempitan hidup memaksa remaja ini berhenti sekolah ketika di Tingkatan 2 dan sejak itu dia melakukan pelbagai pekerjaan yang dapat membantu meringankan beban keluarga.

Antaranya, Wan Othman pernah menjadi kelindan lori dan pembantu kedai makan tetapi kisahnya yang kini mencari rezeki sebagai kru syarikat pengurusan sisa pepejal dan pembersihan lebih mendapat perhatian.

Ia selepas pemuda menetap di Batu 3 Kuantan itu berkongsi kisah dan rutin hariannya di TikTok.

“Saya saja kongsi video ketika bekerja di TikTok dan tidak sangka ia boleh tular.

“Alhamdulillah, ramai beri kata semangat, malah ada yang komen minta majikan naikkan gaji. Terima kasih saya ucapkan,” katanya ketika dihubungi.

Ada Juga Yang Pandang Serong

Wan Othman tidak menafikan ada segelintir warganet memandang serong pekerjaannya dan meminta dia mencari kerja lain yang lebih baik.

“Bagi saya, biarlah cari rezeki sebagai pemungut sampah buat masa ini kerana bukan senang untuk dapat kerja, zaman sekarang ini.

“Waktu bekerja pula 6 hari seminggu bermula 6.30 pagi hingga 3.30 petang,” katanya yang ada ketika dia bekerja lebih masa hingga 7 malam dan bercuti pada Ahad.

Menurutnya, dia sudah melakukan pekerjaan itu selama setahun dengan pendapatan kasar RM1,500 dan mencecah RM2,000 jika bekerja lebih masa.

Pengalaman Kerja

Katanya, banyak pengalaman diperoleh sepanjang bertugas yang disifatkan asam garam kehidupan.

“Antaranya, dikejar anjing malah pernah juga lipas dan cicak masuk dalam baju, selain jumpa wang.

“Itu perkara biasa kerana persekitaran kerja terdedah dengan sampah sarap, namun setakat ini, tiada rakan terdekat atau orang sekeliling memperlekeh pekerjaan saya.

“Saya juga bersyukur dengan rezeki yang ada tetapi tetap menyimpan hasrat untuk lebih berjaya suatu hari nanti dan meningkatkan taraf hidup keluarga,” katanya.

Tidak putus asa dan optimis. Ini sikap pemuda ini yang wajar mendapat pujian. Semoga ada peluang pada masa hadapan, ada yang membantu pemuda ini meyambung pengajian walau terpaksa bermula dari bawah semula.

Sumber : Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *