LRT Tak Beroperasi, Pelajar Jalan Kaki Sejauh 26 KM Balik Rumah

Susulan gangguan perkhidmatan LRT, seorang pelajar Universiti Malaya yang berasal dari Johor, Adam Eji terpaksa berjalan kaki sejauh 26 kilometer (km) dari Universiti Malaya (UM) ke kediamannya di Lembah Keramat petang Selasa.

Menerusi hantaran video di laman TikTok, Adam menceritakan kisah itu bermula selepas dia gagal mendapatkan perkhidmatan berkenaan di Stesen LRT Kerinchi.

Jalan Kaki Mengharungi Hujan Lebat, Dalam Kelaparan

Dia kemudiannya memutuskan untuk berjalan kaki dari stesen tersebut ke KL Sentral bagi mendapatkan perkhidmatan itu, meskipun terpaksa mengharungi hujan yang lebat dan dalam keadaan yang sangat lapar.

Sejurus sampai di KL Sentral, Adam cuba mendapatkan kemudahan LRT di sana namun disebabkan suasana yang sangat sesak, dia kemudiannya menggunakan alternatif lain dengan menaiki Monorail ke Stesen Dang Wangi.

Seterusnya, selepas sampai ke Dang Wangi, dia sekali lagi berjalan kaki ke Stesen KLCC dan Ampang Park yang terletak berhampiran, namun perkhidmatan di kedua-dua tempat itu juga tidak dapat beroperasi.

Adam menyambung kembali perjalanannya dengan menaiki bas ke stesen LRT di Jelatek dan berjaya mendapatkan perkhidmatan tersebut untuk ke Lembah Keramat.

Tak Guna Grab Kerana Mahal, Tunggu Lama

Ketika ditanya mengapa tidak menggunakan perkhidmatan e-hailing bagi memudahkan perjalanan, dia menjawab kosnya mahal dan dia tidak mampu, harganya RM70 untuk sampai ke rumah dan terpaksa mengambil masa yang lama untuk menunggu.

Mengesahkan perjalanannya memang sejauh 26 kilometer, pemuda tersebut menjelaskan jarak tersebut termasuk ketika dia tersa.lah jalan, tersesat.

Reaksi Warganet

Hantaran video tersebut yang kini meraih hampir 500 ribu tontonan itu mendapat pelbagai reaksi daripada warganet. Ada yang memuji, tak kurang juga yang berkongsi pengalaman.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, 16 stesen dari LRT Kelana Jaya ke Ampang Park dihentikan selama 7 hari bagi mencari penyelesaian penuh susulan masalah Sistem Kawalan Tren Automatik (ATC) yang tidak stabil.

Menurutnya, 2 pakar original equipment manufacturer (OEM) dari Kanada dan Dubai akan tiba ke Malaysia bagi mengenal pasti punca permasalahan tersebut.

Lihat video tular tersebut ; Jalan Kaki 26 Kilometer

Sumber : Sinar/ Tiktok Adameji

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *