Rahsia Buat Kuah Kari Mamak Pekat Cantik & Sedap, Rugi Tak Belajar Buat!

Resepi kuah kari mamak pekat cantik dan sedap ini dikongsikan oleh Puan Ida Shahida. Berikut kongsinya;

Sedap ni, kalau buat sendiri dan dah makan mesti pengsan sebab sangat sangat sedap. Sila guna rempah ALAGAPPA’ baru dapat rasa kari India.

Anda dah boleh makan nasi kandar masak sendiri. Ayam, daging, ikan semua boleh guna resepi ini.

Kalau tak belajar buat memang rugi, sebab sedap sangat.

Hanya ada di fb saya sahaja resepinya sebab saya sedekahkan untuk anda semua. Halal.

Tips Penting

[1] Kena masak lama baru kuahnya jadi pekat cantik.

[2] Tumis rempah mesti guna minyak yang banyak baru rempah dapat masak cantik. Bila rempah masak elok maka nanti kuah kari anda akan jadi warna merah yang cantik.

[3] Biar masak rempah lama supaya betul-betul masak. Bila betul-betul masak baru masukkan air.

Resepi KUAH KARI MAMAK( kuah taruh atas)

Bahan-Bahan – bancuh pekat

  • 3 bungkus kecil rempah kari ayam @ 75gram
  • 1 bungkus kecil rempah kari ikan @ 25gram
  • 2 sudu besar serbuk cili @ 20gram
  • 1 sudu kecil serbuk jintan putih*
  • 1 sudu kecil serbuk jintan manis*
  • 1 sudu kecil Serbuk ketumbar*
  • 1 sudu besar rempah masala *(jika ada lebih sedap)
  • (* jika ada)
  • 1/2 sudu kecil serbuk lada hitam

(Semuanya dicampur dan gaul dengan air 1 1/2 cawan hingga pekat)

Bahan tumbuk/kisar-untuk ditumis:

  • Bawang merah 10
  • Bawang putih 7
  • Halia 3 inci
  • Bawang besar 1
  • Bahan ditumis ke 2
  • 4 kulit kayu manis
  • Bunga lawang 6
  • Biji pelaga 6
  • Bunga cengkeh 8
  • Kiub ayam 2
  • Gula 3 sudu besar
  • Garam ( jika perlu sebab kiub ayam dah masin dah)
  • Asam jawa paste 1 sudu besar
  • Air 1 1/2 cawan
  • Santan 1/2 kotak kecil @ 1 kotak. Jika tidak mahu guna santan pun boleh cuma pekatkan kuah kari anda ( kurangkan air)
  • Minyak 2 cawan

(Selepas siap masak kari jika minyak tumisan dalam kuah kari banyak sangat maka anda bolehlah ambil buang/keluarkan mengikut keperluan anda. Menumis rempah kari tidak boleh dikurangkan minyak sebab rempah tidak boleh masak betul.)

Cara-Caranya;

[1] Panaskan minyak dalam periuk. Bila panas tumis bahan tumisan tadi. Bila dah harum masukkan rempah yang dibancuh tadi.

[2] Pastu kacau-kacau lah. Bila nampak rempah dah warna merah dan ada minyak di atasnya cepat-cepat tambahkan air. Biar mendidih 2 kali.

[3] Kemudian masukkan kiub ayam,gula, garam, asam jawa paste 1/2 sudu kecil atau air asam jawa 2 sudu besar.

[4] Biarkan mendidih berkali kali sampai kuah pekat dan jadi sedap.

[5] Dah siap kuah mamak dan boleh taruh atas ayam (yang sudah digoreng).

Maklumat Tambahan

[1] Resepi kuah mamak ini hanya perlu dibuat bila anda buat ayam goreng sahaja tetapi jika anda buat kari ayam@daging maka tak perlulah buat kari manak lg.

[2] Kari mamak ini juga jika suka anda boleh terus masukkan ayam atau daging semasa tumisan rempah dah masak tadi. Baru masukkan air.

[3] Buat banyak banyak kalau lebih masukkan dalam bekas bertutup dan simpan dalam peti ais. Boleh tahan 5-6 hari. Senang bila nak makan nasi panaskan saja.

[4] Tapi kalau masak rempah guna minyak banyak, rempah masak elok KUAH KARI INI AKAN BERTAHAN 2 MINGGU. Ambil setakat yang nak makan saja, yang baki cepat-cepat simpan semula dalam peti ais.

[4] Kuah kari ini boleh dimasak dengan lauk pauk kegemaran anda. Maksudnya anda boleh buat sebagai kari ayam, ikan, daging ,sotong, udang. Kalau nak buat kuah kari yang warna hitam tu cuma tambahkan kicap pekat sedikit sahaja ke dalamnya.

Kuah Kari Hitam Mamak

“Untuk resepi kuah kari hitam mamak , cara buat adalah sama. Cuma ketika kuah sudah mendidih masukkan kicap TAMIN, sedikit cili sos dan sos tomato untuk menyempurnakan rasanya.”

Semoga bermanfaat.

Sumber : Ida Shahida

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *