Pokok Mangga Berbuah Lebat & Rimbun, Hanya Guna Minyak Terpakai

Bagi mereka yang minat menanam pokok buah-buahan sudah pasti menginginkan hasil buah yang banyak. Mangga sering menjadi pilihan ramai kerana ia mudah ditanam dan tidak bermusim, malah penjagaannya juga tidak rumit.

Apa yang menjadi masalah ramai ialah pokok ini tidak berbuah lebat atau langsung tidak berbuah. Berbagai usaha dilakukan untuk mengatasinya termasuklah menggunakan baja tertentu namun hasilnya tidak seperti yang diinginkan.

Seorang pengguna Facebook, Kak Chah berkongsi tip memecah kebuntuan ramai untuk melebatkan buah mangga. Jelasnya, beliau mendapat petua tersebut melalui anaknya yang terbaca satu artikel dari luar negara.

“Alhamdulillah selepas mencuba petua tersebut, pokok mangga yang saya tanam di tepi rumah berbuah lebat. Dahan pokok sudah tidak dapat lagi menampung buah mangga sehingga sampai satu tahap, dahan pokok patah kerana buah mangga yang terlalu berat,” katanya.

Jelas Kak Chah lagi, beliau tidak menggunakan baja tertentu untuk menyuburkan pokok mangga yang ditanam sebaliknya mengamalkan petua menggunakan minyak masak terpakai. Berikut dikongsikan petua cara melebatkan buah mangga.

Tips Pokok Mangga Subur Berbuah Lebat Dengan Minyak Masak Terpakai

Bahan:

  • Minyak masak terpakai (terutamanya bekas goreng ikan bilis, ikan masin atau hati ayam)

Cara :

[1] Gali lubang kecil di sekitar pokok mangga.

[2] Tuangkan minyak masak terpakai dalam 1 senduk masak tersebut pada jarak sekurangnya 3 kaki dari batang pokok tersebut. (Jauh dari pangkal pokok)

[3] Diulang 3 hingga 4 kali dalam sebulan sahaja. (Bukan setiap hari)

Hasilnya anda akan dapati pokok mangga berbuah lebat. Tidak hanya itu, buahnya juga manis.

Katanya, ada kala pokok mangga tersebut berbuah pada dahan tertentu dan bukan serentak yang menyebabkan akan ada buah yang sudah masak, buah muda, putik buah dan ada yang baru berbunga.

Tabur Garam Kasar Elak Buah Berulat

Bagi mengatasi masalah buah mangga yang berulat atau ada serangga di dalamnya, Kak Chah menyarankan  agar garam kasar ditaburkan sekeliling pokok mangga dengan jarak 2 hingga 3 kaki dari batang pokok.

Hasilnya bukan sahaja buah tidak berulat, isinya juga manis.

Meninjau reaksi warganet, rupanya ada juga yang telah berjaya dengan kaedah ini.

Khasiat buah manga ini sememangnya tidak boleh dipertikai dari dahulu lagi.

Selain sedap dibuat kerabu, ia kaya dengan kandungan potassium, magnesium, vitamin C, antioksidan serta pektin yang membantu mengawal kolesterol jahat dalam tubuh.

Mangga atau nama saintifiknya Mangifera indica mengandungi zat besi yang tinggi.

Selain menyihatkan mata, ia dapat mencegah anemia serta mencantikkan kulit.

Selamat mencuba. Semoga bermanfaat.

Sumber : Facebook Kak Chah/ Sinarplus

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *